Wednesday 23 February 2011

BEZA ANTARA IMAN DAN TAQWA


(a) Perkataan Islam (إِسْلَام) merupakan Isim (Kata Nama) yang bermaksud "Agama Islam"(Religion of the muslims) atau "Agama yang benar" (الدِّينُ الحَنِيف). Orang yang menganut agama Islam dikata orang MUSLIM. Al-Syahrastani mengatakan bahawa 'Islam membawa erti patuh secara lahirnya, dan termasuklah didalamnya MUKMIN (Orang yang Beriman) dan MUNAFIQ (al-Milal wa Nihal, 1/40-41)..

(b) Perkataan Iman (إِيمان ) pula membawa erti percaya atau Tasdiq dan Iktikad (تَصْدِيقٌ واعْتِقاد).Orang yang beriman dikatakan MUKMIN. Menurut Al-Hafiz Al-Imam Al-Nawawi Iman pada bahasa ialah 'percaya semata-mata'. Dari segi syara' pula ialah kata-kata dari kepercayaan yang khusus, iaitu percaya kepada Allah, malaikat, Rasul-Rasul, Kitab-kitabnya, Hari akhirat dan Qada' dan Qadar.

Dengan kata lain, seorang muslim (beragama Islam) terdiri dari mereka-mereka yang beriman dan juga tidak beriman (munafiq). Firman Allah swt :


قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا قُلْ لَمْ تُؤْمِنُوا وَلَكِنْ قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِنْ تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُمْ مِنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

"Orang-orang "A'raab" berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "-[Surah al-Hujurat : 14]

Ayat diatas ini jelas menunjukkan perbezaan diantara Iman dan Islam. Tha'lab mengatakan bahawa :'Iman itu dengan hati, dan Islam itu dengan lidah" [Lisan Al-Arab, 1/142].

(b) Perkataan Taqwa (تَقْوَى) bermaksud 'Takut kepada Allah'. Ia berasal dari perkataan wiqaya (وقى) yang membawa erti 'perlindungan, mempertahankan diri'. Orang yang bertaqwa digelar MUTTAQI. Taqwa dari segi syara' membawa erti : orang yang benar-benar tunduk kepada perintah Allah swt dan syariatnya, dan akan melahirkan rasa benar-benar takut akan Allah swt. Syarat menjadi orang yang bertaqwa ialah seseorang mesti beriman. Firman Allah swt :

ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ. الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ. وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ. أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ.

"Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya. "-[Al-Baqarah : 2-5]

Hubung kait Iman dan Taqwa dapat kita lihat didalam ayat Al-Quran yang memerintahkan agar orang-orang BERIMAN menunaikan Puasa. Adalah diharapkan natijah daripada amalan puasa itu, seseorang itu akan mendapat TAQWA. Firman Allah swt :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.- [Al-baqarah : 183]

Boleh kita katakan bahawa buah Iman dan Amal yang dilakukan secara ikhlas kepada Allah swt akan melahirkan Taqwa. Seorang penulis pernah berkata : "Taqwa (piety) is the heavenly water of life, and a Muttaqi (pious) is the fortunate one who has found it. Only a few individuals have achieved the blessing of this attainment (Taqwa ibarat air penghidupan, dan Muttaqi (orang yang bertaqwa) adalah mereka yang beruntung menjumpainya. Hanya sedikit bilangan mereka yang mencapai kurniaan ini)". Perinkat Taqwa merupakan satu pencapaian yang tinggi didalam Islam. Firman Allah swt :-

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu" - [Al-Hujurat: 13].

Drs Sidi Ghazalba pernah membicara tahap-tahap keIslaman seseorang. Beliau membahagikan kepada 5 tahap :

1. Muslim - Orang Islam
2. Mukmin - Orang Yang BerIman
3. Muhsin - Orang yang memperbaiki amalan-amalannya agar berqualiti
4. Mukhlis - Orang Yang Ikhlas didalam amalan-amalannya
5. Muttaqi - Orang yang mencapai maqam Taqwa.

Pendek kata , orang Islam yang beriman dan berusaha memperbaiki amalan (Ihsan) dan Ikhlas kepada Allah, dengan izinnya akan memncapai maqam Taqwa. Begitulah serba ringkas hubung kait dan ciri-ciri Islam, Iman dan Taqwa

2 comments: